Sunday 19 October 2014

perjalanan sudah bermula

Berhabuk tebal blog aku nih. Dah lama tak update. Agak kesuntukan masa semenjak berada di tempat baru ni. Taktau la kenapa petang ni tiba-tiba rajin pulak aku menghadap laptop dan rasa nak update blog. Layankan je laa..

Tempat baru. Suasana baru. Ya. Mungkin agak janggal untuk aku menyesuaikan diri di tempat ini pada mulanya. Keluasan kampus yang sangat berbeza luasnya jika hendak dibandingkan dengan pusat asasi dahulu. Kedudukan mahallah (asrama) yang agak jauh dengan kelas. Ditambahnya dengan bilangan ‘foreigner’ yang ramai membuatkan aku rasa yang aku betul-betul berada di satu tempat yang baru dan asing.

Tetapi aku mesti cuba untuk selesakan diri aku di sini. Di sinilah tempatnya untuk aku menceduk segala ilmu yang aku dahagakan selama ini di samping memikul amanah dari kedua ibu bapa tercinta. Di sini bermulanya sebuah perjalanan hidup yang bakal aku lalui pada masa hadapan.

Sebaik sahaja melangkah ke tempat ini, aku sedar inilah dunia yang perlu aku tempuhi. aku bukan lagi kanak-kanak kecil tapi seorang remaja yang meningkat dewasa. Pemikiran harus matang, intelektual dan kritis. Aku akan berhadapan dengan pelbagai ragam manusia yang terdiri daripada latar belakang, sifat dan tingkah laku yang berbeza. Aku perlu lebih berdikari tanpa megharapkan semua perkara akan disuap masuk ke dalam mulut dengan mudah.

Kehidupan untuk menjadi seorang dewasa sudah bermula. Aku berharap setiap liku yang bakal aku hadapi dalam hidup ini mampu untuk aku tempuhi dalam keadaan yang bersedia.  Hidup tanpa cabaran dan ujian maka tidak ada apa yang akan kita pelajari. Kita tak akan kenal apa erti kesusahan. Jadi aku cuba untuk belapang dada dengan setiap cubaan. Menggali hikmah di sebalik ujian yang diberikan. Bersangka baik dengan Allah.

Mudah-mudahan sahaja apa yang aku impikan selama ini akan tercapai dan telaksana. Menjadi manusia yang bermanfaat kepada orang lain, menjadi siswi yang cemerlang bukan sahaja dari aspek akademik malah akhlak dan peribadi juga harus mantop. Mampu menjadi anak solehah harapan ibu bapa dan kakak yang menjadi teladan untuk adik-adik. Mampu menjadi khalifah yang taat pada Penciptanya dan daie yang tidak mudah lelah dengan ujian dunia.

Misi mengejar cita dan impian.